Saturday, June 27, 2009

PANDUAN DAN TEKNIK MERUMUS PETIKAN

Nota:

Bahagian merumus lazimnya mendatangkan masalah kepada pelajar, terutama bagi mereka yang tidak bersedia atau malas mengulangkaji. Merumus juga ibarat mencantas pokok yang rendang. Oleh itu kerja mencantas perlu dilakukan pada ranting-ranting yang kecil bukan pada bahagian dahan atau batang dan perlu dilakukan berhati-hati untuk mendapatkan hasil yang berkualiti. Berikut dicadangkan panduan merumus yang menepati kehendak peperiksaan.

1. Markah penuh : 30 markah (Isi=20 dan Bahasa=10)

2 markah diberi bagi setiap isi yang tepat.

markah bahasa diberi separuh daripada markah isi


Nota : Jika disalin bulat-bulat perkataan demi perkataan, ayat demi ayat walaupun jumlah perkataan antara 100 – 120

patah perkataan, markah bahasa diberi ialah 0.

4. Kaedah mengira perkataan.

Perkataan yang dikira sebagai satu perkataan:

nama khas – Contoh : Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

perkataan berganda – Contoh: berbual-bual

kata depan – Contoh: di kedai, ke pasar

angka dengan nombor atau perkataan – Contoh: Dua ratus ribu, 2020

gelaran – Contoh: Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad

tarikh - 28 Februari 1998

Perkataan yang dikira lebih daripada satu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB (3 patah kata)

5. Jumlah perkataan

Antara 100 – 120 perkataan. Jika calon mengemukakan lebih 120 perkataan, markah tidak dipotong. Patah perkataan selepas 120 diabaikan.

6. Perenggan

Dicadangkan 4 perenggan (pengenalan, isi tersurat, tersirat dan kesimpulan)

dengan selang sebaris antara perenggan. Rasionalnya supaya pemerika dan calon lebih mudah menyemak isi dan jawapan.

7. Masa menjawab

Dicadangkan peruntukan masa selama 35 minit sahaja dengan kombinasi masa 5 minit – membaca & memahami petikan, 12 minit mengesan isi, 13 minit menulis jawapan, dan 5 minit untuk menyemak/mengira perkataan/membaiki kesilapan.

8. Lain-lain

Tuliskan jumlah patah erkataan di bahagian bawah sebelah kanan jawapan rumusan anda. Gunakan bahasa yang mudah, padat dan tepat. Elakkan daripada melakukan sebarang kesalahan tatabahasa. Tulisan perlu kemas dan mudah dibaca.

Strategi mengesan dan menulis pendahuluan.

1. Pendahuluan bermaksud pemahaman calon tentang keseluruhan petikan.

2. Cara mengesan dengan membaca, menganalisis dan memahami:

(a) arahan/kata kunci soalan }

(b) keseluruhan isi/intipati petikan } pendahuluan yang mantap

(c) sumber petikan }

3. Menulis dengan menggunakan kata kunci/dimulakan dengan frasa:

Petikan ini memperkatakan/berhubung/menyatakan tentang ………..

Petikan ini menyentuh tentang --------

Petikan ini memberi komen tentang ----------

Petikan ini membincangkan/memperkatakan/mengulas tentang ……….

4. Pengenalan boleh diambil daripada:

kata kunci arahan soalan (1 markah sahaja)

kata kunci arahan soalan yang diubahsuai mengikut pemahaman keseluruhan petikan. (2 markah)

Nota: lihat contoh soalan & skema markah.

5. Pengenalan tidak boleh diambil daripada isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan.

6. Ditulis dalam satu ayat sahaja.

Contoh-Contoh Pengenalan.

Petikan tersebut memperkatakan tentang perkembangan perubatan dan kesihatan sebelum dan selepas merdeka. (SPM1993)

Petikan ini menyentuh tentang pandanagan penulis berhubung dengan beberapa kelemahan pihak bomba mengatasi kebakaran (SPM 1994)

Petikan membincangkan kesan-kesan negatif proses pembandaran terhadap instituti keluarga. (SPM 1995)

Petikan membicarakan kemajuan Malaysia bergantung kepada perkembangan teknologi telekomunikasinya. (SPM1996)

Petikan ini membicarakan tentang aktiviti pembalakan di negara ini pada masa sekarang dan kesannya kepada negara. (SPM1997)

Strategi Mengesan dan Menulis Isi Tersurat

1. Isi tersurat ialah isi yang dinyatakan dalam petikan dan menepati kehendak soalan.

2. Kesan isi tersurat berdasarkan kehendak soalan/kata kunci soalan sahaja

3. Aspek yang perlu diambilkira semasa mencantas isi:

Contoh langsung tidak perlu dimasukkan. Ia dapat dikesan dalam petikan melalui kata-kata berikut: (seperti, dalam bentuk, termasuk, umpamanya, diantaranya, contohnya, iaitu dan misalnya)

Contoh: Klon-klon baru iaitu KKM22 dan KKM28 telah diperkenalkan oleh MARDI.

Contoh tidak langsung juga tidak perlu dimasukkan. Contoh: Tindakan kerajaan terhadap pengemis dengan menangkap, menahan, menempatkan di rumah kebajikan atau menghantar pengemis asing pulang ke negara asal menelan belanja yang besar.

Huraian sesuatu konsep tidak perlu dimasukkan. Contoh: Mak Yong merupakan satu daripada drama yang menggunakan alat-alat tradisonal.

Gantikan rangkai kata yang panjang dengan konsep yang sama maksud. Contoh: pasir, simen, batu marmar, kepingan atap (bahan binaan)

Jika rangkaikata yang panjang tidak digantikan dengan satu konsep, masukkan sekurang-kurannya 2 item supaya markah tidak dipotong. Contoh: bencana alam (hakisan, dan banjir/tanah runtuh/taufan/kebakaran)

Isi yang berkait dalam beberapa ayat perlu dimasukkan dalam keseluruhan isi tersebut. Contoh: Thailad telah berjaya berbuat demikian. Begitu juga Singapura dan Singapura. Negara-negara ini mempunyai kesitimewaan yang tersendiri. (Thailad, Indonesia dan Singapura telah berjaya berbuat demikian kerana mempunyai keistimewaan tersendiri)

Penanda wacana tidak perlu dimasukkan . Contoh: walau bagaimanapun, di samping itu, namun begitu, oleh itu.

Konsep yang sama pilih satu yang lebih ringkas. Contoh: Perbadanan Kemajuan Pelancongan atau TDC – (Pilih TDC)

Jika petikan tersebut ceramah/ucapan/syarahan, maka kata-kata aluan, kata ganti diri orang yang bercakap dan penutup tidak perlu dimasukkan Contoh: Saya masih dapat membayangkan bagaimana kanak-kanak menderita akibat penyakit difteria, batuk kokol dan tibi. (Kanak-kanak menderita akibat pelbagai penyakit). Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih……. (kata-kata aluan tidak perlu)

Huraian isi tidak perlu dimasukkan dalam isi tersurat. Contoh: Setiap balai bomba perlu mempunyai kakitangan dan peralatan yang mencukupi (1) Tidaklah masuk akal sekiranya usaha-usaha penyelamatan tidak boleh dilakukan kerana masalah tangga atau ketiadaan air atau kekangan lain…… (2) Isi (2) tidak perlu kerana berupa huraian isi (1).

Jika petikan mempunyai kata kunci soalan, semua isi tersurat yang perlu dimasukkan mestilah berkaitan dengan kehendak kata kunci soalan. Contoh: Buat rumusan tentang peranan telekomunikasi di Malaysia ke arah mencapai matlamat wawasan 2020 (Julai 1996). Isi tersirat mestilah berkait tentang peranan sahaja.

4. Tulis 1 isi dalam 1 ayat

Strategi Mengesan dan Menulis Isi Tersirat

Isi tersiratmerupakan lanjutan isi tersurat atau implikasi sisi tersurat yang tidak terdapat dalam petikan.

Isi tersirat mestilah sesuatu yang berkaitan dengan isi tersurat.

Isi tersirat dibuat dalam satu ayat sahaja.

Isi tersirat tidak boleh dibuat dalam bentuk cadangan/pendapat/usul.

Gunakan isi tersurat untuk mengesan/mengenalpasti isi tersirat dengan berdasarkan kehendak atau kata kunci soalan.

Jangan masukkan contoh dalam isi tersirat

Contoh SPM 1996:

Arahan: Buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang mempengaruhi permainan video di kalangan remaja. (Isi tersurat dan tersirat mesti menyentuh tentang kata kunci berkenaan)

Jawapan: Tersurat - Hiburan ini murah dan mudah didapati. {faktor}

- Remaja mampu ke pusat video kerana mempunyai wang. {faktor}

Strategi Mengesan dan Menulis Kesimpulan/Penutup

Kesimpulan merupakan satu cadangan/pendapat/ulasan tentang keseluruhan petikan yang diberi.

Ditulis dalam satu ayat sahaja.

Gunakan kata kunci/penanda wacana untuk membezakan isi tersirat dengan kesimpulan. Contoh : Kesimpulannya, Oleh itu, Oleh yang demikian.

Boleh kaitkan dengan wawasan 2020 jika petikan berkenaan berkaitan.

Contoh-Contoh Kesimpulan.

Oleh itu, kerjasama orang ramai dengan pihak bomba perlu untuk mencegah kebakaran (SPM 1994)

Kesimpulannya, semua pihak hendaklah saling berkerjasama untuk mewujudkan masyarakat penyayang selaras dengan matlamat wawasan 2020. (SPM 1995)

Oleh yang demikian, segala halangan terhadap perkembangan teknologi komunikasi hendaklah diatasi oleh semua pihak. (SPM 1996)

Kesimpulannya, pihak kerajaan perlu menangani masalah pembalakan supaya tidak menjejaskan kestabilan alam sekitar. (SPM 1997)

No comments:

Post a Comment